Sunday, June 10, 2012

ADA BAIK KITA MELAKUKAN SOLAT SUNAT MUSAFIR...KETIKA SUJUD MOHON PERLINDUNGAN ALLAH....KERANA ALLAH LAH SEBAIK2 PERLINDUNG........

Cuti malang tujuh sekeluarga


DUA anggota polis melihat Toyota Avanza yang remuk dalam kemalangan yang mengorbankan tiga mangsa di Setiu kelmarin.



KUALA TERENGGANU - Jurutera di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, Shairyzal Mohamad Azizan, 30, begitu seronok dengan berita kunjungan keluarga bapa saudaranya dari Permatang Pauh, Pulau Pinang ke rumahnya di sini sehingga dia membuat beberapa panggilan telefon untuk mengetahui keadaan perjalanan mereka.
Namun, tanpa diduga, panggilan yang dibuatnya pada pukul 4.25 petang kelmarin untuk bertanyakan mengenai perjalanan bapa saudaranya itu, Abdul Razak Othman, 49, atau Pak Su bersama enam lagi ahli keluarga mereka rupa-rupanya perbualan yang terakhir.
Lima minit kemudian, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dikatakan terbabas memasuki laluan Toyota Avanza yang dipandu oleh Abdul Razak sebelum kedua-duanya bergesel dan berpusing di Kilometer 62 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.
Lokasi kejadian itu hanya kira-kira 40 kilometer dari rumah Shairyzal.
"Ketika dalam perjalanan, saya beberapa kali menghubungi mereka untuk bertanyakan keadaan dan kali terakhir saya menghubungi mereka lima minit sebelum kejadian.
"Selepas itu, saya cuba hubungi mereka sekali lagi tetapi tidak dijawab sehinggalah ada orang telefon saya memberitahu bapa saudara saya terlibat dalam kemalangan," ceritanya ketika ditemui di Balai Polis Setiu sejurus selepas kejadian.
Insiden yang berlaku dalam hujan lebat itu menyebabkan anak Abdul Razak iaitu Siti Suraya, 14, dan kakak Abdul Razak, Fathilah Othman, 53, tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Gempar kubur kena gali


JUSLIE (tiga dari kiri) dan penduduk Kampung Tanjung Pisau-Lalason meninjau keadaan kubur yang berlubang akibat digali di Sandakan semalam.


SANDAKAN - Penduduk Kampung Tanjung Pisau-Lalason dekat sini semalam gempar apabila mendapati tiga kubur lama di kampung tersebut berlubang akibat diceroboh dan digali oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kubur yang telah berusia lebih 50 tahun dan terletak berhampiran kawasan sungai itu ditemui dalam keadaan baru sahaja digali. Ia disedari oleh beberapa penduduk yang kebetulan menjalankan aktiviti memukat ikan di situ.
Difahamkan, ketiga-tiga kubur itu digali sedalam lebih satu meter dengan beberapa batu nisan dibiarkan berselerak.
Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati tulang-tulang si mati tidak hilang.
Seorang penduduk, Abdul Kifli Ghani, 45, berkata, tiga kubur yang digali itu ialah pusara Allahyarham kakaknya dan dua anak saudaranya yang disemadikan sejak tahun 1963.
"Kuburan ini telah lama, namun kami sentiasa datang untuk membersihkannya.
"Tidak sangka pula ada pihak lain sanggup menggali kubur ini," kata Abdul Kifli ketika ditemui di sini semalam.

Penyanyi D'Lloyd, Syamsuar Hasyim meninggal dunia di Jakarta



ALLAHYARHAM Syamsuar (tiga dari kiri) bersama anggota kumpulan D'Lloyd.



KUALA LUMPUR - Vokalis utama kumpulan D'Lloyd dari Indonesia yang terkenal di Malaysia sekitar tahun 1970-an, Syamsuar Hasyim, meninggal dunia di Hospital Islam Cempaka Putih, Jakarta, Indonesia semalam akibat penyakit barah paru-paru.
Kematian Syamsuar, 65, disahkan anak saudaranya, Isfriansyah Putra yang kini berada di Malaysia untuk mengunjungi sanak saudara.
Isfriansyah, 37, yang menetap di Aceh, Sumatera berkata, bapa saudaranya meninggal dunia di Hospital Husada Utama, Jakarta akibat sesak nafas pada pukul 7.15 pagi waktu Indonesia.
Beliau berkata, jenazah bapa saudaranya dibawa ke rumah kakaknya di Kalibaru, Jakarta untuk urusan pengebumian di Taman Pemakaman Umum Tanah Kusir, Jakarta selepas solat Asar.
Isfriansyah berkata, bapa saudaranya yang hidup membujang dimasukkan ke hospital yang sama setelah mengadu sesak nafas pada Khamis lepas sebelum disahkan meninggal dunia.
"Kami berasa sungguh sedih dengan pemergiannya kerana beliau seorang yang sangat mengambil berat terhadap kami," katanya.
Syamsuar mula menganggotai kumpulan D'lloyd pada tahun 1974 dan telah merakamkan album pertama pada tahun itu serta mengeluarkan beberapa lagu popular seperti Cinta Hampa, Mengapa Harus Jumpa, Oh Di Mana, Keagungan Tuhan dan Sendiri.

Polis trafik direman kes kematian Mustaghni

KLANG - Polis menahan reman seorang anggota polis trafik berusia 51 tahun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kes kematian Koperal Mustaghni Tabri, 48, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, anggota trafik berpangkat koperal itu terlibat dalam kes itu selepas dipercayai membaling satu objek ke arah mangsa.
Mustaghni terbabit dalam insiden itu ketika bertugas dalam operasi cegah lumba haram di Lorong Bunga Raya berhampiran Kampung Raja Uda di sini pada pukul 1.45 pagi 3 Mei lalu.
"Suspek direman bermula hari ini (semalam) sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan manakala empat lagi anggota yang ditahan bersamanya dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi semalam.
Mohamad yang ditanya mengenai beberapa objek yang dirampas polis dari lokasi kejadian memberitahu, semua objek terbabit akan dihantar ke Jabatan Kimia esok.

25 tahun mencari ibu


GAMBAR 10 Mei lalu menunjukkan Fatima Munshi bekerja mencuci lantai sebuah kediaman di Khandwa.


KHANDWA, India - Doa seorang ibu untuk menatap semula wajah anak kandungnya yang terpisah sejak 25 tahun lalu akhirnya dimakbulkan.
Pada awal tahun ini, Fatima Munshi dapat bersua semula dengan anak lelakinya, Saroo Brierley.
Pertemuan menyayat hati itu bermula apabila Saroo, 30, memutuskan untuk pergi ke bandar ini bagi mencari ibunya selepas beberapa tahun melakukan pencarian di internet berdasarkan memori zaman kanak-kanaknya.
Dia dan saudara lelakinya terpisah dengan ibu mereka selepas terlibat dalam kemalangan di sebuah landasan kereta api di sini ketika masih kecil.
Saroo kemudian diserahkan ke sebuah rumah anak yatim di Calcutta, dekat sini, sebelum tinggal dengan sebuah keluarga angkat di Tasmania, Australia.
Menurut Saroo, selepas beberapa hari mencari dengan bantuan penduduk setempat, dia menemui ibunya tinggal di sebuah pondok kecil di sini bersama dua adik beradiknya, Kallu and Shakila.
Sebaik sahaja mereka bersua muka, wanita itu memeluk dan mengusap kepalanya sambil menangis.
"Saroo saya sudah kembali," kata Fatima.
"Tuhan akhirnya memakbulkan doa saya. Yang Maha Kuasa akhirnya membawa Saroo saya pulang," tambah wanita itu.
Menurut Saroo, dia sempat tinggal bersama ibu dan adik beradiknya selama 10 hari sebelum pulang ke Tasmania untuk menguruskan perniagaan keluarga angkatnya.
Saroo turut menghantar duit belanja AS$100 (RM320) setiap bulan kepada Fatima supaya ibunya tidak lagi perlu bekerja.
Namun, katanya, Fatima yang sebelum ini memperoleh AS$30 (RM96) sebulan dengan membersihkan kediaman dan mencuci pinggan mangkuk masih meneruskan pekerjaan tersebut.
Walaupun tidak dapat memenuhi hasrat Fatima untuk tinggal sebumbung, Saroo yang kini mempunyai seorang teman wanita kulit putih memberitahu, dia merancang untuk pulang ke India sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi melawat ibunya. - Agensi

No comments:

Post a Comment